Majikan Ditipu Pekerja RM10,000

Seorang majikan mendakwa terkilan dengan tindakan seorang pekerja wanita yang bukan saja mengikis wangnya dan menggelap wang syarikat RM10,000, malah sanggup mereka-reka cerita kononnya sudah meninggal dunia semata-mata untuk mengaburi pihaknya.

Majikan itu, Rogayah A Aziz, 49, berkata lebih mengejutkan, bekas pekerjanya yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri hujung tahun lalu, didapati masih hidup dan bergerak aktif sebagai sukarelawan di dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bandar raya ini.

Beliau mendakwa, sepanjang bekerja di syarikatnya, wanita berkenaan pernah memperdayanya dengan mereka-reka pelbagai cerita menyayatkan hati semata-mata untuk mengikis wangnya.

“Saya melantik wanita itu sebagai jurujual di farmasi milik keluarga di sini, pada 13 Julai 2010 kerana simpati dengan nasibnya yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, termasuk menyara empat anak bersekolah.

“Sepanjang lima bulan bekerja, wanita itu mengaku dirinya bernasib malang dan menggunakan modal itu untuk menagih simpati selain mengikis wang saya secara beransur-ansur.

“Dia licik menagih simpati kononnya mengalami masalah rumah tangga, termasuk ditinggal suami sejak dua tahun lalu, ibunya sakit dan anak perempuan bongsu berusia 10 tahun pernah menjadi mangsa rogol,” katanya.

Menurut Rogayah, hampir setiap hari, ada saja cerita sedih daripada wanita berkenaan bagi membolehkannya meminjam wang dan mendapatkan bantuan, termasuk dijadikan alasan untuk pulang cepat atau ponteng kerja.

Katanya, wanita itu juga kerap meminjam wang antara RM100 hingga RM200 dengan menggunakan alasan terbabit.

“Saya tidak pernah menolak permintaan wanita itu kerana simpati dengan nasibnya dan pada masa sama, saya kerap memberi semangat kepadanya supaya menaik taraf kehidupan keluarga.

“Penipuan wanita itu terbongkar pada 17 Disember lalu apabila saya menemui beberapa slip bank menunjukkan dia menggelap wang syarikat dan mendepositkan wang ke akaun seorang lelaki dipercayai kekasihnya,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Skudai, di sini, pada hari sama.

Menurut Rogayah, ketika disoal, wanita itu cuba memutar-belit cerita selain tidak mengaku menggelapkan wang syarikat.

“Dia juga cuba mengalih perhatian saya dengan mereka-reka cerita baru, termasuk menyatakan ibunya meninggal dunia selain anak lelakinya patah tangan akibat terbabit dalam kemalangan.

“Saya masih menyimpan semua SMS dihantar oleh wanita itu sebagai bukti,” katanya kepada Metro Ahad.

Beliau berkata, usahanya untuk mendapatkan penjelasan daripada wanita berkenaan gagal apabila tidak hadir ke tempat kerja, sebaliknya berhenti tanpa notis.

Menurutnya, walaupun pada awalnya kecewa terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu, dia bersimpati apabila menerima berita kematian wanita berkenaan menerusi SMS kononnya dihantar oleh adik perempuan pekerjanya pada hujung Disember lalu.

Katanya, dia pernah berusaha mengesan keluarga wanita itu, termasuk di kediaman terakhir di sebuah flet di Skudai untuk menyampaikan bantuan, namun gagal.

“Saya hanya menyedari niat jahatnya mereka-reka cerita kononnya sudah meninggal dunia selepas mendapat maklumat dia bergerak aktif sebagai sukarelawan di bandar raya ini.

“Saya terkejut mendapati dia masih hidup dan saya berharap pihak berkuasa menyiasat penipuannya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan Rogayah.

Bagaimanapun, sukarelawan terbabit ketika dihubungi menafikan dakwaan bekas majikannya dan mendakwa terpaksa berhenti kerja tanpa notis di atas arahan majikannya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close