Loji Penapisan Minyak Milik ESSO Di PD Terbakar

Sebahagian daripada loji penapis minyak milik Esso musnah dalam satu kebakaran di sini awal pagi ini melibatkan sebuah pam saluran penghantar minyak dari loji ke kapal.

Kira-kira 100 orang pekerja berada di loji berkenaan semasa kebakaran yang bermula pada lewat tengah malam dan sempat menyelematkan diri sementara api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira empat jam kemudian.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Saadon Mokhtar memberitahu Bernama pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.06 pagi dan mengejarkan enam jentera bomba termasuk unit Hazamat (bahan merbahaya) bersama 32 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima dan kerja memadamkan kebakaran turut dibantu oleh dua jentera bersama-sama 24 anggota pasukan bomba Esso dan Shell.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat, tambah beliau.

Seorang pekerja di loji berkenaan Kassim Bee Mohamad Kassim, 49, berkata pada awalnya beliau terdengar bunyi mesin yang kuat dan letupan kemudiannya melihat api marak dengan tiba-tiba.

T. Mallika, 54, seorang pekerja berkata semasa kejadian, mereka sedang bekerja dan ketakutan serta terus lari keluar menyelamatkan diri apabila melihat api menjulang naik.

Sementara itu jurucakap Esso Malaysia Bhd di sini berkata operasi di terminal itu telah beroperasi semula setelah dihentikan buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Operasi penapisan tidak terjejas dan berterusan. Satu siasatan penuh telah berjalan oleh pihak berkuasa berkaitan bagi menentu dan menangani punca kebakaran,” katanya.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close