Lagun Semerak Ditutup Untuk Aktiviti Perkelahan

Selepas 28 nyawa terkorban sejak 1980, Lagun Kuala Semerak atau lebih dikenali sebagai ‘Lagun Maut’ di sini akhirnya ditutup kepada pengunjung untuk berkelah berkuat kuasa hari ini.

Laluan utama masuk ke lagun berkeluasan 13.8 hektar yang juga terkenal sebagai lubuk pelbagai spesies kerang itu akan dipagar untuk menghalang pengunjung bersantai dan berkelah selepas pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan mendapati ia amat berbahaya dan mengancam nyawa manusia.

Ketua Jajahan Pasir Puteh, Nazran Mohamed berkata, keputusan muktamad itu diputuskan selepas satu mesyuarat dan tinjauan khusus selama empat jam ke lokasi terbabit bersama wakil Pejabat Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan pemimpin tempatan.

Beliau berkata, sepanduk yang mencatatkan jumlah kematian akibat lemas ketika berkelah di lagun itu turut dipasang di laluan utama yang kini direntang dengan tali amaran berwarna merah putih sebelum ia dipagar.

“Langkah ini perlu dilaksanakan segera untuk membendung kejadian sama berlaku secara berterusan. Hasil kajian dan penelitian yang dibuat mendapati sebilangan besar mangsa yang lemas adalah pengunjung dari luar Semerak, bukan pencari kepah tempatan yang mahir dan tahu tentang selok belok struktur dasar lagun berbahaya itu.

“Larangan ini hanya melibatkan kunjungan untuk mandi atau berkelah di lagun berkenaan. Penduduk tempatan masih dibenarkan menjalankan kerja mencari kepah yang menjadi sumber pendapatan mereka sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Lagun Kuala Semerak dekat sini, hari ini.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim turut sama meninjau ke lokasi berkenaan.

Nazran berkata, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mengeluarkan notis amaran dan pemberitahuan mengenai penutupan kawasan rekreasi dan perkelahan itu dengan segera termasuk melakukan kerja menutup semua jalan masuk berasaskan pelan tanah milik kerajaan negeri ke lagun berkenaan.

Selepas ini, katanya, anggota penguat kuasa MDPP akan membuat pemantauan yang berterusan dan mengadakan rondaan bagi memastikan orang ramai tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya ada pihak yang cuba melanggar peraturan ditetapkan dan menjadi satu kesalahan sekiranya sekiranya menceroboh ke kawasan larangan,” katanya.

Incoming search terms:

  • safari lagoon tutup (16)
  • kenapa safari lagoon tutup (2)
  • lagun semerak (1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close