Lagi Mangsa Penipuan ‘projek muzium PDRM’ Tampil Buat Laporan

Selepas kegiatan sindiket ‘projek muzium PDRM’ membabitkan seorang wanita yang dikesan memperdaya 10 usahawan berjumlah RM10 juta disiarkan Harian Metro pada 16 September lalu, lebih ramai mangsa tampil membuat laporan pernah ditipu kumpulan sama.

Menggunakan modus operandi sama, kontraktor, Azmi, 40, berkata, dia yang juga jiran suspek utama kerugian RM28,000 selepas menerima tawaran untuk mendapatkan kerja membekalkan peralatan ke muzium berkenaan Mac lalu.

Katanya, pada mulanya dia tidak berminat dengan tawaran kerja itu dan mengenali suspek yang tinggal berjiran dengannya di Kajang, namun mengubah keputusan selepas wanita terbabit yang dikenali sebagai ‘Kak Su’ menunjukkan tiga pesanan kerajaan untuk pembekalan peralatan sempena Hari Polis serta mengajaknya ke ‘pejabat’ untuk semua proses berkaitan.

“Mulanya Kak Su menunjukkan pesanan kerajaan berjumlah lebih RM50,000 yang ditandatangani seorang pegawai daripada Bahagian Logistik Bukit Aman menyebabkan saya yakin ia dokumen tulen sebelum menyerahkan bayaran kepadanya,” katanya ketika membuat aduan kepada Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, semalam.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya akan membawa kes terbabit kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar selain Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan lewat minggu ini dan mengumpul maklumat lengkap berhubung kegiatan terbabit.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close