Kebakaran Di Kampung Kandis | Bapa Syukur Anak Selamat

Hanya perasaan syukur mampu dipanjatkan seorang pengawal keselamatan apabila anak bongsunya berusia tujuh tahun terselamat selepas rumah papan diduduki 20 tahun lalu dijilat api di Kampung Kandis, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu mengakibatkan keluarga Mohd Sidek Awang, 54, tinggal sehelai sepinggang kerana semua peralatan, termasuk perabot dan barangan berharga, gagal diselamatkan berikutan api marak dalam tempoh 15 minit.

Menceritakan detik cemas dilalui, Mohd Sidek berkata, dia yang ketika itu minum di sebuah kedai bergegas pulang ke rumahnya sejauh 500 meter selepas mendapati kediamannya terbakar.

“Panik bila dapat tahu rumah terbakar dan ketika itu hanya terbayang keadaan anak bongsu, Mohd Hilmi. Dalam keadaan cemas, saya hanya terbayangkan anak sebab ditinggalkan seketika di rumah dengan pengawasan jiran.

“Alhamdulillah, anak saya selamat dan di bawah jagaan jiran. Biarpun rumah dijilat api, saya bersyukur kerana bantuan jiran membolehkan anak saya terselamat,” katanya ketika di temui di rumahnya, semalam.

Mohd Sidek berkata, dia tidak tahu bagaimana kebakaran berlaku kerana isteri bersama dua lagi anaknya tiada di rumah ketika kejadian.

“Kebetulan pada petang kejadian, dua anak saya menemani ibu mereka bekerja di kilang tembakau, tiga kilometer dari rumah kami, manakala anak bongsu bermain bersendirian di rumah dengan dipantau jiran,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close