Hati-hati Dengan Skim Kutu Haram

Hampir 100,000 individu di negara ini didapati terjebak dalam skim kutu haram menerusi pelbagai medium terutama Internet, yang membabitkan pelaburan kira-kira RM33 juta sepanjang tahun lalu.

Selain menggunakan laman web, blog dan seumpamanya, penganjur skim kutu haram juga melantik ejen-ejen atau pun menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta menggunakan pembayaran secara perbankan dalam talian, wang pos atau kiriman wang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Azmi Ariffin berkata, tahap kerugian para peserta skim ini bergantung kepada jumlah yuran dan pelaburan yang dibayar dan terdapat individu yang mengalami kerugian jutaan ringgit.

Menurut beliau, aktiviti itu yang semakin berleluasa di negara ini, mendapat sambutan menggalakkan kerana ia menjanjikan pulangan lumayan dalam waktu yang singkat.

Katanya, skim haram itu dikenal pasti mencatatkan penyertaan paling tinggi mengatasi pelaburan lain seperti perniagaan sarang burung, cacing dan lintah yang turut dikategorikan skim berisiko tinggi.

“Berdasarkan rekod SSM, hampir 100,000 individu terpedaya menyertai skim pelaburan haram itu pada tahun lalu,” katanya dalam ucapan pada Simposium Jenayah Ekonomi Antarabangsa Ke-29 di Universiti Cambridge, London baru-baru ini yang diedarkan kepada media.

Tambah Azmi, skim kutu haram tersebut telah mewajibkan para pesertanya membayar sejumlah yuran secara berkala sebelum pulangan mewah yang dijanjikan diterima oleh mereka.

“Masalah ini amat membimbangkan kerana skim pelaburan haram yang tidak kukuh ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan ia dijalankan secara terbuka di seluruh negara,” jelasnya lagi.

Azmi berkata, sepanjang tempoh tahun lalu juga pihaknya menerima 214 aduan berkaitan skim pelaburan dengan 62 peratus daripadanya melibatkan skim pelaburan haram.

“Kini perusahaan ternakan lintah dan cacing juga turut dijadikan skim pelaburan haram. Seramai 71 pelabur telah mengalami kerugian hampir RM5 juta gara-gara terlibat dengan skim pelaburan menternak lintah manakala 3,000 pelabur kerugian hampir RM25 juta kerana skim pelaburan ternakan cacing,” ujarnya.

Beliau menambah, skim pelaburan melibatkan sarang burung pernah menjadi tumpuan ramai pada 2008, namun ia dapat dibendung menerusi kawalan undang-undang dan pemantauan yang dijalankan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk meminda Seksyen 3 Akta Larangan Kumpulan Wang Kutu 1971 di mana Kabinet telah meluluskan Rang Undang-Undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai aktiviti skim kutu haram tersebut, Azmi ketika dihubungi memberitahu, kesemua peserta yang diperdaya membuat aduan kepada SSM setelah mereka mengalami kerugian besar dari segi kewangan.

“Kerugian itu bergantung kepada jumlah pelaburan dan yuran yang mereka bayar. Kebanyakan peserta kerugian besar kerana melakukan pelaburan dalam jumlah yang besar sehingga ada yang menjangkau jutaan ringgit,” katanya.

Beliau memberitahu, pelaburan kutu telah wujud sejak 1970, namun skim itu kini diharamkan kerana ia mengenakan caj dan yuran perkhidmatan yang berbentuk perniagaan dan menipu orang ramai.

-Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close