Hampir 300 Keping Kad Pelbagai Ditemui

Hampir 300 keping kad yang terdiri daripada kad pengenalan, kad ATM dan lesen memandu dijumpai di tepi jalan dan di dalam tali air sepanjang kira-kira 200 meter berhampiran Kompleks Belia dan Sukan di Jalan Suka Menanti di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, antara kad yang dijumpai ialah 102 keping kad pengenalan, 51 keping kad ATM, 126 keping lesen memandu dan 19 keping lain-lain kad.

“Kita percaya kemungkinan kad-kad ini dibuang oleh penjenayah semasa hujan lebat dua tiga hari lepas dan kita akan kesan penjenayah itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kad-kad itu kemungkinan dicuri dari kes ragut, pecah rumah dan pecah cermin kereta.

“Kad-kad pengenalan bukan sahaja dari negeri ini tetapi ada juga yang pemiliknya beralamat dari negeri-negeri lain berhampiran Kedah.

“Ini adalah penemuan barang-barang kes daripada laporan yang dibuat oleh orang ramai yang kehilangan kad-kad tersebut,” katanya.

Baharom berkata, sesiapa yang kehilangan kad-kad berkenaan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk membuat tuntutan.

Seorang penduduk kampung berkata penduduk turut menyedari tentang kad-kad itu yang bertaburan di tepi jalan, tepi tebing dan dalam tali air sejak semalam.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close