Faezah Elai & Heykal Hanafiah Akad Nikah 9 September

PEJAM celik pejam celik, akhirnya hari yang dinanti tiba. Tidak sampai tiga hari, pelakon sedang mencipta nama, Noorfaezah Md Elai atau Faezah Elai, 29, bakal bergelar isteri kepada pengarah juga duda anak dua, Heykal Hanafiah.

Sewaktu dihubungi, Faezah yang berada di rumah orang tuanya di Gelugor, Pulau Pinang berkata, dia seperti tidak percaya akan bernikah pada 9 September ini, sekali gus bergelar isteri.

“Saya seperti tidak percaya hendak bernikah sebab berasakan yang saya ini masih lagi muda remaja,” katanya yang turut menyatakan sedang mengira detik dan hari bersejarah dalam hidupnya untuk bergelar suri hati lelaki idaman.

Menceritakan sedikit persiapan majlis pernikahan yang berlangsung, jelas Faezah, ia diadakan secara sederhana dengan dihadiri keluarga dan teman rapat.

“Majlis akan berlangsung di rumah ibu bapa saya di Gelugor. Ia dimulakan dengan majlis khatam al-Quran pada jam 10 pagi diikuti akad nikah pada 3 petang,” katanya.

Mengenai konsep majlis yang diadakan, kata Faezah seperti yang dinyatakan sebelum ini, segala urusan diserahkan kepada keluarga dan perunding perkahwinan Rozie daripada Butik Pengantin Putree.

“Saya percaya dengan kemampuannya untuk menzahirkan apa yang saya bayangkan pada hari penuh bersejarah itu nanti. Malah, saya merancang mengadakan majlis berkonsepkan santai seperti di tepi pantai, memandangkan saya anak kelahiran Pulau Pinang yang dikelilingi laut.

“Lebih menarik majlis berlangsung di tepi kolam jadi diharapkan ia mampu menambahkan seri majlis secara sederhana yang dirancang,” katanya lagi.

Sebelum ini sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem Tanda Putera, Faezah pernah menyatakan dia tidak sempat merasai apa yang sepatutnya dirasakan membabitkan majlis pernikahan dirancang memandangkan dia terlalu sibuk di lokasi.

Bagaimanapun apabila tinggal, tiga hari lagi majlis pernikahan kata Faezah, perasaannya kini berbeza apabila dapat merasakan debaran bergelar raja sehari.

“Perasaan itu tiba-tiba datang. Saya rasa perasaan ini juga turut dirasai orang lain. Entahlah, pelbagai perkara dan persoalan timbul di fikiran.

“Mahu menjadi isteri orang, hati saya berbisik, bolehkah saya memikul tanggungjawab baru dalam hidup saya? Sudah bersediakah saya? Selain itu, majlis pernikahan saya ini berupa majlis perkahwinan pertama yang berlaku dalam keluarga saya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai majlis persandingan pula, kata Faezah ia dilangsungkan pada 3 Disember depan memandangkan kedua-duanya sibuk dengan penggambaran filem dan drama.

“Saya sendiri sebelum ini terlalu sibuk dengan penggambaran filem Tanda Putera dan selepas itu saya berada di Kedah untuk menjayakan telefilem khas untuk program penghormatan buat Tan Sri P Ramlee iaitu pengarah Osman Ali mengarahkan Di Mana Akan Ku Cari Ganti, yang turut menampilkan Arja Lee dan Mislina Mustafa.

“Selepas itu saya juga ada berlakon beberapa drama lain dan semuanya harus dihabiskan sebelum Ramadan. Selain itu, saya juga tidak dapat bercuti panjang sepanjang sambutan Aidilfitri ini. Selain membuat persiapan majlis pernikahan, saya juga harus bersiap sedia untuk kembali ke lokasi,” katanya.

Cerita Faezah, dia dan Heykal juga tidak dapat berbulan madu kerana pada 14 September ini dia harus terbang ke London bagi menyambung kembali penggambaran Tanda Putera. Ia membabitkan babak penting dan kerana itu dia juga harus memberikan tumpuan kepada penggambaran filem terbabit.

Faezah dan Heykal mula berkenalan rapat selepas pengarah itu berpisah dengan isterinya. Bagaimanapun, sebelum ini timbul cerita kurang menyenangkan apabila ada pihak mengaitkan masalah dihadapi Heykal dan bekas isteri berpunca daripada orang ketiga iaitu Faezah. Kedua-dua belah pihak menafikan mengenainya.

Bagaimanapun, Faezah menyatakan hubungannya dengan Heykal mula rapat berpunca daripada dakwaan dibuat. Mereka sering bertemu bagi menyelesaikan masalah yang ditimbulkan. Malah pengarah itu sendiri sering mengadu membabitkan apa yang berlaku dan memohon maaf kerana turut mengheret nama Faezah dalam kemelut yang berlaku.

Faezah juga menafikan bahawa sebelum ini dia cuba merahsiakan majlis pernikahan yang dirancang, sebaliknya bagi menghormati permintaan keluarga Heykal dan perkara itu hanya diberitahu kepada umum apabila segala perancangan sempurna dibuat dan kad perkahwinan dicetak.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close