Enam Suspek sedang Tebuk Dinding Kedai Pajak Ditahan

Enam lelaki yang sedang leka menebuk lubang di sebuah kedai gambar sebagai laluan masuk untuk menyamun kedai pajak bersebelahan, ditahan selepas sistem penggera kedai gambar itu berbunyi dalam satu kejadian di Sungai Way di sini kira-kira jam 3 pagi tadi.

Difahamkan keenam-enam lelaki berkenaan, sebelum itu memecah masuk pintu belakang kedai gambar itu sebelum berusaha menebuk lubang berkenaan.

Kira-kira sejam kemudian, sistem penggera kedai gambar itu secara tiba-tiba berbunyi, lantas mengejutkan anggota polis Balai Polis Sungai Way terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Panik dengan situasi itu, kesemua suspek cuba melarikan diri ke arah kenderaan mereka, namun tindakan pantas polis berjaya menahan kesemua suspek.

Polis menemui sejumlah batu-bata yang telah ditebuk, peralatan menebuk seperti mesin gerudi, beg galas dan sarung muka selain dua kereta yang berada di luar premis berkenaan.

Difahamkan polis sedang memohon perintah reman bagi menyiasat kejadian itu dengan lebih lanjut.

Sepasukan anggota polis forensik dilihat menjalankan siasatan dan mengumpul bukti yang ada di tempat kejadian, termasuk cap jari.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dijangka mengadakan sidang akhbar esok.

Pemilik kedai pajak tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, berkata beliau gembira suspek tidak sempat menyamun kedainya dan berharap tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

“Saya gembira kerana tiada barang yang hilang,” katanya.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close