Dua Kanak-kanak Hampir Diculik Lelaki Nepal

LELAKI warganegara Nepal yang cedera setelah kenderaan dilarikannya melanggar tembok asrama sekolah di Pekan Nanas, kelmarin.

Kecuaian seorang ibu meninggalkan kenderaannya dengan enjin masih hidup di Jalan Sawah, Pekan Nanas semalam untuk membeli kuih, nyaris menyebabkan dua anaknya dilarikan penjenayah.

Kejadian berlaku pukul 1.30 petang, apabila seorang suspek warga Nepal, bertindak melarikan kenderaan pacuan empat roda milik wanita itu selepas melihatnya ditinggalkan begitu sahaja.

KENDERAAN pacuan empat roda yang dilarikan seorang lelaki Nepal melanggar tembok asrama SMK Dato' Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, kelmarin.

Mujurlah kenderaan dipandu suspek terbabas dan merempuh tembok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd. Yunos Sulaiman, kira-kira 800 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zahaliman Jamin berkata, siasatan mendapati wanita berusia 40 tahun bersama dua anaknya berhenti membeli kuih di situ, tanpa mematikan enjin Toyota Hilux.

“Suspek yang melihat peluang itu, melarikan kenderaan tersebut bersama dua anak perempuan mangsa berusia sembilan dan 11 tahun.

“Wanita itu kemudian mengejarnya dengan menaiki kereta orang awam yang melalui jalan berkenaan.

“Setibanya di hadapan asrama sekolah, kenderaan itu gagal dikawal dan merempuh tembok. Suspek ditahan oleh orang ramai,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua anak mangsa tidak mengalami kecederaan dan siasatan mendapati suspek yang cedera ringan dalam keadaan mabuk.

Zahaliman menasihatkan orang ramai berhati-hati dan sentiasa mematikan enjin semasa meninggalkan kenderaan masing-masing.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close