Diculik 3 Mengaku Polis

Seorang lelaki bukan saja diculik dan dikurung lebih sembilan jam sebaliknya turut dibelasah sekumpulan tiga lelaki yang menyamar anggota polis dalam kejadian di rumahnya di Cheras Perdana, di sini, 29 Ogos lalu.

Lebih malang, mangsa yang berusia 26 tahun itu patah rusuk kiri akibat dipukul dan lebam seluruh badan ditinggalkan separuh bogel di dalam longkang di kawasan berhampiran rumahnya selepas gagal membayar wang tebusan RM2,000. Mangsa yang ditemui orang ramai dihantar ke Hospital Kajang (HK) sebelum tidak sedarkan diri selama empat hari.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 4 petang, apabila mangsa yang berseorangan di rumah sewanya dikejutkan dengan ketukan kuat tiga lelaki yang memperkenalkan diri anggota polis berpakaian biasa dan ingin membuat pemeriksaan.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya tidak mengesyaki niat serong kumpulan terbabit membenarkan mereka masuk.

“Mangsa meminta kumpulan terbabit menunjukkan kad kuasa, namun tindakannya menyebabkan suspek berang sebelum mereka memukul mangsa.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan kumpulan terbabit menjerit meminta tolong apabila mereka menendang dan menumbuknya,” katanya.

Sumber berkata, kumpulan terbabit kemudian mengheret mangsa masuk ke dalam kereta mereka yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sebelum membawanya ke sebuah rumah di kawasan Pandan Indah dan mengurungnya.

Di rumah itu, seorang daripada suspek menghubungi rakan mangsa bagi meminta wang tebusan untuk melepaskan mangsa yang kononnya ditahan di sebuah balai polis atas kesalahan tidak dinyatakan. Pada mulanya, suspek meminta rakan mangsa RM5,000 dan selepas berbincang dan proses tawar menawar, jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM2,000.

“Bagaimanapun, rakan mangsa tidak dapat memenuhi permintaan suspek kerana berada di kampung halaman menyambut Aidilfitri.

“Kegagalan rakan mangsa memenuhi permintaan itu walaupun sudah berunding menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa hingga mangsa tidak bermaya,” katanya.

Katanya, sebaik mangsa dibelasah, suspek yang masih tidak berpuas hati meninggalkan mangsa separuh bogel di dalam longkang berdekatan rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Orang ramai yang lalu berhampiran kawasan itu menemui mangsa tidak bermaya sebelum menghantarnya ke HK untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dalam keadaan lemah dihantar ke HK dan ditahan selama empat hari kerana tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 4 September lalu selepas doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussien Onn kerana bimbang kumpulan terbabit kembali mengganggunya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mangsa.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close