Cuba Lindungi Anak Ketika Diserang | Bapa Maut

Niat seorang bapa untuk meleraikan pergaduhan melibatkan sekumpulan 10 remaja dan anaknya berakhir dengan tragedi yang meragut nyawanya di Taman Utama, Pekan Nanas, malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 11.30 malam semasa kumpulan terbabit menyerang anak mangsa yang berusia 19 tahun bersama seorang rakannya di rumah mereka.

Melihat kejadian itu, mangsa, Chen Chio Beng, 38, cuba meleraikan pergaduhan tersebut tetapi diserang sehingga mengakibatkan cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zahaliman Jamin berkata, Chio Beng yang mempunyai enam anak meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Pontian (HP) pukul 12.30 tengah malam.

“Siasatan menemui objek seperti batu, botol dan besi di tempat kejadian, dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zahliman berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca akibat salah faham antara dua pihak berkenaan yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, kumpulan itu kemudian mengekori mangsa dan rakannya sehingga ke rumah tersebut.

Tambahnya, berikutan kejadian itu, dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun ditahan dan kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

“Lapan lagi lelaki yang telah dikenal pasti identiti mereka serta berasal dari Pekan Nanas diburu,” katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close