Bayi Terlibat Kemalangan Tidak Cedera langsung

Seorang bayi lelaki berusia dua bulan boleh disifatkan sebagai ‘bayi ajaib’ apabila langsung tidak cedera walaupun kereta dinaikinya remuk dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3, Jalan Pasir Puteh-Telosan di Kampung Saring, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, bayi itu, Mohamad Syafik Azri Mohd Saidi, bersama ibunya, Azlina Idris, 30; bapanya, Mohd Saidi Sapiai, 36; dan neneknya, Zainab Samat, 54 serta dua abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Mohd Saidi dirempuh sebuah Perodua Kancil dipandu Mohd Suhaimi Che Mahmood, 23, yang terbabas di laluan bertentangan dan turut bertembung sebuah Toyota Corolla GL yang dipandu Nik Well Nik Man, 54.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan mendapati, kemalangan itu dipercayai berpunca apabila kereta yang dipandu Mohd Suhaimi dari Pasir Puteh menuju Telosan terbabas ke jalan bertentangan. Katanya, selepas merempuh kereta dinaiki Mohd Saidi sehingga remuk, kereta Mohd Suhaimi yang turut dinaiki dua anak perempuannya, adik ipar lelaki dan juga rakannya, Mohd Ramy Zaki, 24, bertembung pula dengan kereta dipandu Nik Well.

“Akibat rempuhan kuat itu, isteri Mohd Saidi, Azlina yang duduk di bahagian depan penumpang, cedera di muka terkena serpihan cermin kereta, manakala ibunya, Zainab cedera di b mulut.

“Mohd Saidi dan dua lagi anak lelakinya tidak cedera, namun paling mengejutkan, Mohd Syafik Azri langsung tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun ibunya yang memangkunya cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mohd Kamal, selain Azlina dan Zainab, turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu ialah Mohd Suhaimi yang retak tulang tumit kaki, manakala Mohd Ramy cedera di bahagian leher.

“Semua yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Anis, di sini,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close