Ayah Saksikan Klip Video Anak Dibelasah

Berderau darah seorang lelaki apabila menonton klip video anaknya dipukul bertubi-tubi oleh seorang pelajar senior di asrama sebuah sekolah agama dekat Jitra Kubang Pasu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 6.15 petang 2 April lalu dan cuma disedari oleh lelaki terbabit, Abu Bakar Salleh, 43, pada awal Julai lalu setelah menemui satu kad memori lama telefon bimbit milik anaknya itu, Danial Wafiy Nuruddin, 14.

Katanya, klip video yang memaparkan aksi pelajar tingkatan tiga menumbuk, menyepak dan memukul anaknya itu dengan kayu dipercayai dirakam oleh salah seorang rakannya.

“Kami sekeluarga memang terkejut dan sedih melihat Danial diperlakukan sedemikian. Tidak terbayang ketakutan dan trauma yang dihadapinya sehingga sanggup menyembunyikan perkara ini selama beberapa bulan.

“Ia hanya terbongkar setelah kami menemui satu memori kad daripada telefon bimbit lamanya. Jika tidak entah apalah nasibnya,” kata lelaki itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bongok, Alor Janggus di sini, hari ini.

Risau dengan keselamatan anaknya yang masih belajar di sekolah terbabit, kata Abu Bakar, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jitra Kubang Pasu baru-baru ini.

“Apa yang dirisaukan sehingga kini tidak ada tindakan diambil ke atas pelajar terbabit walaupun dia telah dibuang dari asrama tersebut.

“Sedangkan anak saya masih menanggung trauma,” katanya yang berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pelajar terbabit.

Sementara itu, pelajar tingkatan dua terbabit memberitahu, dia menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan keluarganya kerana bimbang diugut akan dikenakan tindakan kerana membawa telefon bimbit ke sekolah.

“Akibat dipukul saya mengalami lebam-lebam di muka termasuk mata dan badan, tetapi saya takut untuk memberitahu sesiapa kerana ugutan tersebut.

“Lagipun saya risau akan diganggu lagi oleh pelajar itu dan rakan-rakannya, namun ia rupa-rupanya tidak berhenti di situ,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik.

Menurut ibunya, Rozita Che Don, 40, dia risau dengan perkembangan pelajaran di sekolah yang dilihat merosot sejak beberapa bulan ini.

“Sebelum ini, kami tertanya-tanya kenapa dalam peperiksaan banyak mata pelajarannya yang gagal, tidak seperti sebelum ini yang agak cemerlang, malah dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dulu pun dia memperoleh 3A,’’ katanya yang berhasrat untuk menukarkan sekolah anaknya itu.

Katanya, Danial Wafiy Nuruddin kini berulang alik ke sekolah dari rumah datuknya di Air Hitam Kubang Pasu kerana enggan menetap di asrama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close