Anak Anggota Polis Trafik Maut Terjatuh Dari Tingkat 5

Seorang anak anggota trafik berusia enam tahun yang mengidap sindrom down maut setelah terjatuh dari tingkat lima kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini hari ini.

Kejadian pukul 7.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, Ahmad Safuan Syafik Afendi, yang juga seorang kanak-kanak hiperaktif bermain seorang diri.

Menurut ibunya, Roslina Mohd. Yusof, 44, semasa kejadian, dia berada di dapur kerana membancuh susu yang diminta oleh Ahmad Safuan.

“Saya tak perasan bila dia keluar dari rumah dan menyedari kejadian itu bila dengar ada orang jumpa dia jatuh bangunan. Dia tidak sempat pun minum susu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Safuan yang merupakan anak kepada Koperal Syafik Afendi Ahmad, 44, adalah anak keempat daripada lima beradik.

Saksi, Koperal Marina Jaafar, 37, berkata, dia terkejut mendapati seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada rakan sekerjanya terjatuh, kurang satu meter di hadapannya.

Katanya, semasa itu, dia mendukung anaknya yang berusia tiga tahun untuk dibawa ke rumah seorang pengasuh di bangunan sama.

“Saya ingat objek itu adalah sampah yang dibuang penduduk di tingkat atas bangunan tersebut. Namun setelah diamati, ia rupanya seorang kanak-kanak lelaki yang masih memakai baju tidur,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika ditemui memberitahu, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mangsa dipercayai telah memanjat tangga di tingkat lima bangunan berkenaan sebelum terjatuh.

“Mangsa tinggal di tingkat lapan tetapi kali terakhir ada saksi nampak dia di tingkat enam dan hendak turun ke tingkat lima,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close