Ambulans Terbabas | Seorang Ibu Maut

Seorang ibu, yang menemani anaknya ke Hospital Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan akibat terkena renjatan elektrik, terbunuh apabila ambulans yang membawa mereka terbabas ketika melalui satu selekoh di Jalan Felda Bukit Rokan, jam 8 malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Norizah Bujang, 62, manakala anaknya, Moriem Tam Suhana Ahmad, 30, terselamat tetapi kritikal akibat renjatan elektrik yang dialaminya.

Jurucakap polis berkata, ambulans yang dipandu seorang petugas dari Klinik Kesihatan Jelai, bersama seorang pembantu membawa Allahyarham Norizah yang menemani anaknya di bahagian belakang ambulans ke Hospital Kuala Pilah.

Katanya, semasa melalui satu selekoh dekat Jalan Felda Bukit Rokan, ambulans itu terbabas sehingga remuk di bahagian depan.

“Norizah meninggal dunia di bahagian belakang ambulans dan anaknya terselamat tetapi masih kritikal akibat renjatan elektrik yang dialaminya,” katanya.

Kedua-dua pemandu dan pembantu kesihatan pula hanya mengalami kecederaan ringan di muka dan tangan.

Jurucakap polis itu berkata, Moriem Tam Suhana terkena renjatan elektrik semasa menggunakan mesin jahit kira-kira jam 7 malam di rumah mereka di Felda Jelai.
Allahyarham Norizah yang tinggal bersama anak perempuannya kemudian meminta bantuan seorang jiran untuk menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Jelai namun berikutan kecederaan Moriem Tam Suhana parah, mangsa terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Pilah menggunakan ambulans.

Adik perempuan Norizah, Azami Bujang ketika dihubungi Bernama pagi ini memberitahu, kakaknya meninggalkan suami serta tujuh orang anak dan jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Felda Jelai 3.

“Anaknya yang terkena renjatan elektrik ini merupakan anak keempat yang kematian suami dan mempunyai dua cahaya mata,” katanya.

Ketika melawat anak saudaranya itu di Hospital Kuala Pilah, Moriem Tam Suhana sudah mampu bercakap tetapi difahamkan mangsa akan dipindahkan ke Hospital Seremban kerana mendapat kecederaan tulang akibat kemalangan itu, katanya. – BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close