Ahmad Jais Ditukarkan ke ICU

Penyanyi veteran, Datuk Mohd Jais Ahmad atau dikenali sebagai Ahmad Jais, 75, yang dimasukkan ke Unit Separa Rapi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) di sini semalam, dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat sukar bernafas awal pagi ini.

Anak keempatnya, Maimun, 31, berkata bapanya kini dalam keadaan stabil.

“Ayah sekarang bernafas melalui mesin bantuan pernafasan bagi membolehkan oksigen masuk terus ke paru-parunya, dan doktor sedang melihat progres ayah.

“Ayah memang ada asma dan bila beliau diserang batuk, itu menyukarkan pernafasannya. Doktor beritahu masih terlalu awal untuk tentukan sampai bila ayah akan berada dalam keadaan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Maimun turut meminta agar saudara mara, rakan-rakan dan peminat mendoakan kesihatan bapanya.

Ahmad Jais dimasukkan ke unit rawatan separa rapi di pusat perubatan itu semalam selepas mengalami masalah sesak nafas.

Menurut anaknya, beliau mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lepas, tetapi sakitnya mula serius pada malam Khamis lepas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Seksyen 20 di sini.

Beliau kemudian dipindahkan ke DEMC awal pagi semalam kerana mempunyai rekod perubatan di situ.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close