3 Beranak Trauma Dicabul

Tiga beranak trauma apabila bukan sahaja disamun, malah seorang mangsa turut dicabul lima lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka di sebuah kampung di Nilai, dekat sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, suami dan adik ipar mangsa, suri rumah berusia 23 tahun turut dicederakan oleh penjenayah terbabit dengan parang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, adik ipar mangsa yang cedera parah di kepala akibat ditetak terpaksa menjalani pembedahan di hospital.

Katanya, dalam kejadian itu, suspek melarikan tiga buah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM150 dan beberapa dokumen berharga.

“Sebelum melarikan diri, suspek mencabul kehormatan isteri mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Hamdan berkata, susulan kejadian itu pihaknya mengesan seorang lelaki, S. Selvaraj, 45, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, lelaki yang beralamat di No. 16, Jalan Semenyih Indah 16, Taman Semenyih Indah, Kajang, Selangor dan bekerja sebagai pemandu teksi itu diminta tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Sesiapa yang mengenali lelaki itu atau mengetahui dia berada diminta segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan mendatangkan kecederaan kepada mangsa dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close