Taufan Irene | Rakyat Malaysia Selamat

Rakyat Malaysia yang dipindahkan ketika Taufan Irene membadai beberapa bandar di Amerika Syarikat termasuk New York berada dalam keadaan selamat dan akan kembali ke rumah masing-masing seperti biasa.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York memaklumkan bahawa New York dijangka kembali berfungsi seperti biasa dalam beberapa hari lagi.

Beliau berkata, dua orang pegawai tetap dari Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan keluarga mereka yang dipindahkan semasa taufan itu, telah kembali ke kediaman mereka.

“Seramai 25 pelajar dari Stevens Institute of Technology di New Jersey yang dipindahkan ketika bencana berlaku juga dalam keadaan selamat dan akan pulang ke kediaman masing-masing.

“Sehingga hari ini kira-kira 7,500 warganegara Malaysia telah berdaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di New York,” kata Anifah dalam kenyataan di sini.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat dengan taufan itu boleh menghubungi Konsulat Jeneral di New York untuk mendapatkan maklumat situasi terkini atau jika memerlukan sebarang bantuan, katanya.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close