Selepas Bunuh Tiga Anak, Bapa Minum Racun

Selepas menolak anaknya berusia antara dua hingga lima tahun ke dalam kolam di Ladang Lambak/Elaeis, Mengkibol di sini, hingga mati lemas, seorang bapa meminum racun bagi membunuh diri, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad berkata, polis menahan lelaki berusia 29 tahun di rumahnya di ladang berkenaan jam 11 malam.

“Kami menerima laporan tiga kanak-kanak lemas dalam kolam di ladang itu jam 10.20 malam sebelum ke sana dan menahan suspek 40 minit kemudian.

“Ketika ditahan, suspek tidak melawan malah dalam keadaan sedarkan diri walaupun sudah meneguk racun dipercayai cuba untuk membunuh diri,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Polis bergegas ke Ladang Lambak/Elaeis, Mengkibol, selepas dihubungi anggota keluarga lelaki berkenaan yang menemui mayat tiga beradik, dua perempuan berusia tiga dan lima tahun serta lelaki berumur dua tahun, dalam kolam takungan air di situ, malam kelmarin. Menurut Fawzi, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan.

“Kami turut mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat Kluang bagi kerja mencari dan menyelamat.

“Hasilnya, anggota penyelam bomba menemui mayat ketiga-tiga mangsa di dasar kolam takungan air kira-kira sejam kemudian sebelum dibawa ke Hospital Kluang untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurut Fawzi, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek di bawah pengaruh alkohol ketika melakukan pembunuhan itu.

“Kami merakamkan kenyataan beberapa individu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close