Selamat Anak & Cucu | Nenek Parah Ditimpa Kayu Terbakar

Demi kasih, seorang ibu sanggup bergadai nyawa menyelamatkan anak perempuan dan tiga cucunya, sebelum rebah ditimpa kayu yang patah dan masih menyala dalam kebakaran di rumah kedai di Jalan Pulai, Bandar Lama dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi, mangsa, T Kamala, 55, yang melecur pada muka dan lengan, kemudian diselamatkan anak perempuannya, M Teeba, 26, dengan mengheretnya keluar dari bangunan rumah kedai itu sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang.

Ketika menceritakan kejadian berkenaan, Teeba berkata, ibunya terjaga daripada tidur selepas mendengar letupan kuat pada bahagian dawai elektrik sebelum disusuli percikan api yang kemudiannya merebak.

Katanya, ibunya bergegas masuk semula ke dalam rumah kedai itu bagi membantunya menyelamatkan tiga anak yang terperangkap dalam bilik tidur walaupun api semakin marak.

“Saya segera menyelamatkan tiga anak sebelum bergegas mengheret ibu yang melecur pada bahagian muka dan lengan kiri,” katanya.

Kebakaran itu menyebabkan dua keluarga kehilangan tempat tinggal, tetapi tiada kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Arif Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.48 pagi dan tiga jentera bersama 14 anggota dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela Kampung Baru bergegas ke tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya mendapati dua pintu rumah kedai bersama sebuah rumah papan hangus 80 peratus dan kerja mengawal serta memadamkan kebakaran mengambil masa kira-kira 10 minit.

Katanya, kerugian dianggarkan RM100,000 dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close