Pusat Pemulihan Cahaya Telunjuk Terbakar

Seramai 22 pelatih sebuah pusat pemulihan dadah tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dua tingkat yang menempatkan pusat itu hangus dalam kebakaran di Kampung Kota Mengkuang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, pelatih di Pusat Pemulihan Cahaya Petunjuk terbabit baru selesai menunaikan solat tarawih di surau bersebelahan rumah tersebut.

Pengurusnya, Mohd Muzni Mohd Noor berkata, rumah itu menempatkan asrama, pejabat dan dapur pusat pemulihan tersebut.

“Selepas selesai rakaat terakhir, seorang daripada ahli jemaah keluar pergi ke tandas dan dia terlihat api mula membakar rumah itu. Kemudian kami semua keluar dari surau dan saya cuba masuk ke dalam rumah untuk memadam api yang mula marak,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.

Bagaimanapun katanya, keadaan api yang terlalu marak menyebabkan mereka langsung tidak dapat menyelamatkan apa-apa.

Beliau berkata, buat masa ini semua pelatih yang berusia antara 20 dan 62 tahun itu di tempatkan di surau, manakala kerugian pula dianggar RM100,000.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close