PRU-13 Diadakan Bila-bila Masa Sahaja

Datuk Seri Najib Razak menegaskan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan dibuat Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai penambahbaikan proses pilihan raya.

Sambil memberi jaminan kerajaan akan cuba melaksanakan cadangan penambahbaikan disarankan jawatankuasa itu sebelum PRU, Perdana Menteri berkata, proses itu bagaimanapun akan ditentukan mengikut keutamaan.

“Kita akan cuba… ada perkara yang boleh dilaksanakan serta merta, kita akan lakukan. Ada perkara yang memerlukan masa untuk dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu diminta mengulas sama ada PRU ke-13 hanya akan diadakan selepas penambahbaikan atau reformasi ke atas sistem pilihan raya dicadangkan jawatankuasa itu yang dianggotai sembilan ahli Parlimen, iaitu lima daripada BN, tiga mewakili pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

Mengenai pendirian pembangkang yang belum membuat keputusan menyertai jawatankuasa terbabit selagi belum melihat terma rujukannya, Najib berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah tawaran ikhlas daripada pihak kerajaan supaya setiap keputusan dapat dibuat secara sepakat.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan itu tidak bermakna ia satu pengakuan wujud kelemahan besar dalam sistem pilihan raya negara.
“MT UMNO menegaskan bahawa demokrasi berparlimen adalah prinsip perjuangan UMNO selama ini dan kesahihan kredibiliti pilihan raya tidak seharusnya dipersoalkan kerana kita sudah membuktikan tidak ada manipulasi dalam pilihan raya, sama ada undi atau senarai daftar pemilih,” katanya.

Ditanya sama ada fungsi jawatankuasa itu akan diteruskan jika pembangkang berkeras enggan menyertainya, Perdana Menteri berkata, isu itu hanya berbangkit jika tiba masanya kerana yang penting sekarang kerajaan mahu menunjukkan kepada rakyat tiada apa-apa untuk dikhuatiri, dilindungi atau ditutup dari segi ketelusan proses pilihan raya.

Mengenai desakan pembangkang supaya mereka diberi peluang menerajui jawatankuasa itu, Najib berkata, berdasarkan tradisi demokrasi berparlimen, jawatankuasa perlu dipimpin parti majoriti dan penyertaan ke dalamnya oleh pemimpin parti lain juga berdasarkan kekuatan parti masing-masing.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close