Produk Krim Derma-Rx & Krim Arbutin-R Mengandungi Racun

Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menggunakan dua produk kosmetik dari luar negara yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk tersebut yang dinamakan Krim Derma-Rx dan Krim Arbutin-R mengandungi racun hydroquinone dan tretinoin.

“Racun tersebut boleh menyebabkan kulit pengguna mengelupas, mengalami kemerahan dan ketidakselesaan serta hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Eisah, pengguna juga berisiko untuk menghidap penyakit kanser kulit kerana racun hydroquinone boleh mengurangkan perlindungan kepada kulit daripada pancaran ultra ungu.

“Pihak kami turut mengarahkan syarikat yang bertanggungjawab terhadap produk itu, DRx Aesthetic Sdn. Bhd. untuk menarik balik dan memberhentikan penjualan serta merta dalam tempoh 72 jam,” katanya.

Tambah beliau, produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 manakala individu yang terlibat boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara 5 tahun, manakala syarikat akan didenda sehingga RM100,000.

Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ditalian 03-78835532 atau 03-78835534 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

– Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close