Penjawat Awam Akan Dikenakan Pengauditan Bahasa?

Pihak berwajib digesa melakukan pengauditan bahasa untuk memastikan mutu penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan jabatan kerajaan dan penjawat awam mencapai piawaian yang disasarkan.

Pakar bahasa tanah air, Profesor Dr Awang Sariyan, berkata sebagai permulaan, proses itu boleh dimulakan di peringkat pentadbiran dan pendidikan sebelum diperluas ke sektor lain.

Beliau berkata, kecekapan pentadbiran negara bergantung kepada kualiti berbahasa penjawat serta jabatan di bawahnya.

Justeru, katanya, mutu bahasa mereka perlu dinilai dan diaudit.

“Adakan satu sistem atau modus operandi yang sesuai terhadap cara untuk menilai bahasa. Dengan adanya pengauditan ini, lama-kelamaan akan terbudaya dalam diri rakyat Malaysia mengenai kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan yang betul,” katanya pada Program Ala Carte Pagi di Radio24, hari ini.

Awang, yang juga bekas Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Universiti Kajian Luar Negara Beijing, berkata kehebatan dan minat orang asing terhadap Bahasa Melayu semakin ketara apabila tujuh universiti di China menawarkan kursus Pengajian Melayu seperti Universiti Peking dan Universiti Kwangsi di Naning.

“Rakyat China menghormati Bahasa Melayu kerana bagi mereka, Bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi dan kebudayaan,” katanya yang menambah penerimaan positif itu membabitkan golongan cendekiawan, pelajar dan peniaga di kaki lima.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close