Peniaga Dirempuh Keretapi Di Alor Pongsu

Tindakan seorang ahli perniagaan cuba menyeberangi landasan kereta api menggunakan lintasan haram berakhir tragedi apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu dirempuh sebuah kereta api penumpang, petang semalam.

Kejadian jam 3.40 petang semalam menyebabkan kenderaan mangsa diseret sebelum terhumban hampir 20 meter berhampiran kilometer 59.5 landasan kereta api, Alor Pongsu, di sini.

Difahamkan kereta api penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu yang datang dari arah utara menuju selatan tidak sempat berhenti lalu merempuh MPV dipandu mangsa yang berada di tengah landasan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan yang dihubungi berkata, mangsa yang memandu MPV model Toyota Unser dipercayai datang dari arah pekan Alor Pongsu menuju ke kawasan pedalaman.

Menurutnya, mangsa didapati cuba menaiki tebing landasan berkenaan tanpa menyedari kehadiran kereta api penumpang itu.

“Kenderaan mangsa yang berada di tengah landasan dirempuh tepat kepala gerabak kereta api terbabit sebelum terpelanting dan terbalik sejauh 15 meter.

“Mangsa dikenali sebagai Choo Cheang Phang, 46, mengalami kecederaan parah di tubuh dan kepala. Mangsa berjaya ditarik keluar oleh orang ramai yang menyedari nahas itu,” katanya.

Menurutnya, rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan mangsa remuk pada bahagian sisi kanan bersebelahan dengan tempat duduk mangsa.

“Mangsa yang kritikal dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menjalani rawatan kecemasan. Bagaimanapun mangsa dilaporkan menghembus nafas terakhir jam 9.10 malam tadi.

“Dalam kejadian itu, pemandu kereta api itu hanya berhenti seketika memberi bantuan sebelum menyambung semula perjalanan. Pihak polis masih menyiasat punca kejadian, dan tujuan mangsa menggunakan laluan landasan berkenaan” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close