Pen Terpacak Di Leher 4 Jam

Seorang pekerja stesen minyak menempuh detik mencemaskan apabila menunggu empat jam dalam keadaan pen terpacak pada lehernya yang berlumuran darah akibat ditikam dengan alat tulis itu oleh seorang lelaki, sebelum dikeluarkan doktor di Hospital Sultan Ismail (HSI), Pandan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam di stesen minyak dekat Jalan Tun Seri Lanang, Kota Tinggi itu, mangsa Low Yoke On, 54, cedera di bahagian kiri leher akibat pen yang terbenam lima sentimeter pada lehernya.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang bekerja, didatangi suspek yang juga bapa saudara kepada anak angkatnya, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Pertengkaran bertukar menjadi pergelutan sebelum mangsa ditikam suspek dengan sebatang pen. Ketika cuba mencabut pen itu, sebahagian pen terbabit patah.

Suspek kemudian mengambil kayu untuk menyerang tetapi orang ramai tampil membantu menyebabkan lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta.

Majikan mangsa yang dikenali sebagai Tan berkata, mangsa terpaksa dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke HSI dalam keadaan pena itu terpacak pada lehernya kerana mereka bimbang mencabutnya sendiri.

“Kami bimbang mencabut pen itu kerana khuatir ia membahayakan nyawanya atau menyebabkan kecederaan lebih buruk,” katanya.

Sejurus menjalani pemeriksaan x-ray di HKT, mangsa dirujuk ke HSI Pandan, Johor Bahru bagi menjalani pembedahan mengeluarkan pen berkenaan dari lehernya.

Sementara itu, Yoke On berkata, doktor memaklumkan beliau boleh mati jika pen yang ditikam lelaki itu terkena pada salur darah utama leher.

“Ketika ditikam, suspek mengatakan mahu melihat saya mati. Nasib saya baik kerana ketika itu, beberapa pelanggan yang mengisi minyak serta rakan pekerja lain, datang membantu menyebabkan lelaki itu lari,” katanya ketika ditemui di wad HSI.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, suspek yang juga bapa saudara anak angkatnya datang memarahinya dan mendakwa beliau tidak memberi wang serta menjaga budak perempuan berusia 11 tahun itu dengan baik.

Yoke On berkata, berikutan serangan itu, beliau berhasrat menyerahkan kembali kanak-kanak terbabit untuk jagaan waris terdekatnya.

Timbalan Ketua Polis Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata keterangan mangsa akan diambil bagi membolehkan polis mengesan penyerang terbabit.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close