Pelajar Dibuli Hingga Koma & Lumpuh?

Jabatan Pelajaran Pahang akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang bapa bahawa anaknya dibuli enam pelajar senior hingga koma dan mungkin lumpuh.

Pengarahnya, Datuk Mazlan Mohamad, berkata dia baru mendapat tahu kejadian itu kerana sebelum ini tidak pernah dimaklumkan mengenai kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Rompin.

Katanya, tiada sebarang laporan dibuat dengan jabatannya dan balai polis menyebabkan pihaknya tidak tahu mengenai kejadian seumpama itu berlaku.

“Jika kami menerima laporan, sudah pasti siasatan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca kejadian dan siapa yang terbabit.

“Selain itu, kami ingin tahu mengapa guru melaporkan mangsa demam panas sedangkan (jika benar) mangsa dipukul hingga parah.

“Kejadian ini serius dan kami akan menyiasat secara terperinci bagi mengetahui punca,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, pengurusan sekolah tidak tahu kejadian sebenar dan menghantar mangsa, Mohamad Amirul Abdul Rahim, 15, ke Klinik Tanjung Gemuk sebelum doktor mengesahkan Amirul demam panas.

Menurutnya, pengurusan hanya mengetahui mangsa dipercayai dipukul pelajar senior seperti dakwaannya apabila keluarga pelajar itu membawa Amirul untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

“Kami ingatkan Amirul demam panas dan ditambah dengan pengesahan doktor bahawa Amirul hanya demam. Bagaimanapun, kami terkejut apabila diberitahu ibu bapa mangsa doktor HSI mengesahkan dia dipukul dan parah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close