Motosikal Bergesel | Remaja 17 Tahun Terbunuh

Keriangan tiga sahabat menunggang motosikal secara beriringan sementara menunggu waktu berbuka bertukar tragedi apabila seorang terbunuh selepas motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Kampung Bukit, Gaal, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian 7 jam malam di Kilometer 6, Jalan Gaal-Kampung Bukit, Mohamad Amirulhafiz Abdullah, 17, dari Kampung Derdap, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah tengkuk.

Difahamkan, sebelum kejadian, Mohamad Amirulhafiz bersama dua rakannya menunggang motosikal dalam keadaan laju.

Apabila tiba di Kampung Bukit, mangsa dikatakan terkejut melihat sebuah motosikal datang dari arah bertentangan, menyebabkan dia cuba mengelak.

Bagaimanapun, tindakan mangsa menyebabkan motosikal ditungganginya bergesel dengan dua motosikal rakan di sebelahnya lalu ketiga-tiganya terjatuh di jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, akibat pergeseran itu, mangsa yang tidak memakai topi keledar meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, dua lagi rakannya berusia 17 dan 20 tahun masing-masing patah kaki dan tangan dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati, kematian mangsa dipercayai akibat patah tengkuk selepas menunggang motosikal terlalu laju sebelum terjatuh, selain tidak memakai topi keledar.

“Malah, siasatan mendapati, mangsa tiada lesen memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close