Meninggal Kerana Lauk Bazar?

Nasib malang menimpa sebuah keluarga apabila mereka sekeluarga cirit-birit dan muntah-muntah selepas berbuka puasa di rumah mereka di Taman Seri Mewah, Fasa 2, Meru dekat sini, Ahad lepas. Manakala anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun meninggal dunia.

Jika dilihat kepada cerita yang disampaikan oleh bapa mangsa, Mohamad Ali Khir, 37, selepas berbuka dengan otak-otak dan air batu campur yang dibelinya di bazar Ramadan berhampiran rumah, mereka sekeluarga mula muntah-muntah dan cirit-birit.

Mungkinkah lauk-pauk yang dibeli Mohamad Ali Khir di bazar berkenaan tercemar? Jika benar begitu sudah semestinya mereka-mereka yang membeli lauk di gerai yang sama akan mengalami simptom-simptom yang sama. Masih terlalu awal untuk kita beranggapan begitu kerana kes ini masih dalam siasatan.

Di bawah adalah berita asal kejadian ini yang Belalang ambil dari Utusan-

Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas 12 jam berbuka puasa, manakala keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama.

Bapa mangsa Mohamad Ali Khir, 37, berkata, Nurdini, 11, dan keluarganya berbuka puasa dengan otak-otak serta air batu campur yang dibelinya di sebuah Bazar Ramadan berhampiran rumah mereka di Taman Seri Mewah, Fasa 2, Meru dekat sini, Ahad lepas.

“Kira-kira setengah jam selepas berbuka dengan juadah berkenaan, perut saya mula berasa tidak selesa, dan kira-kira sejam kemudian kami sekeluarga dan pembantu rumah mula muntah-muntah dan cirit-birit sehingga tidak larat untuk bangun ke bilik air,” katanya kepada pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini.

Selain Nurdini, anggota keluarga Mohamad Khir yang mengalami simptom sama ialah isterinya, Noraliti Ramli, 37, empat lagi anak mereka iaitu Mohammad Syafiq, 14, Mohammad Irfan, 13, Mohammad Fitri, 8, dan Mohammad Hazimi, 3, serta pembantu rumah yang dikenali sebagai Pati.

Beliau berkata, Nurdini dijumpai terlentang di bilik air pada 6.10 pagi semalam dengan suara dengusan kuat seperti lembu disembelih, manakala mata mangsa terbeliak dan mulutnya berbuih.

Mohamad Ali kemudian membawa anak perempuan tunggalnya itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, dan sebaik tiba di situ, mangsa disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, sehingga kini, semua anggota keluarganya dirawat di hospital itu dan doktor belum mengenal pasti penyakit yang mereka hidapi.

Katanya, sejak awal Ramadan, Nurdini meminta untuk menikmati air batu campur serta otak-otak, namun beliau hanya berkesempatan membeli juadah berkenaan Ahad lepas.

Mohamad Ali berkata, jenazah Nurdini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru di sini selepas waktu Zohor, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu manakala pihak hospital tidak dapat dihubungi.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close