Lelaki Mengamuk Tetak Bapa Sampai Mati

Hanya selepas seorang jiran memukul tangannya dengan sebatang kayu, barulah lelaki yang menetak bapanya berhenti daripada terus menyerang mangsa dalam kejadian amuk di Kampung Pasir Putih, Mukim Tualak, di sini, kelmarin.

Mohd Khairul Shamsudin, 28, berkata ketika kejadian dia tidur di rumahnya yang terletak kira kira 100 meter dari lokasi kejadian sementara menunggu waktu berbuka puasa sebelum terdengar suara orang menjerit dan bergaduh.

Mohd Khairul berkata, dia bergegas ke rumah jirannya sebelum terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah di lantai rumah berkenaan dengan kedua-dua tangan terkulai dan kaki terputus.

“Suspek yang duduk setentang dengan bapanya kemudian mengangkat parang cuba melibas leher mangsa terbaring di lantai rumah.

“Tetapi, saya sempat memukul tangan suspek dengan sebatang kayu yang dicapai di kawasan berhampiran menyebabkannya mengerang kesakitan dan membatalkan niat terus menetak bapanya lalu berundur ke belakang sambil parang digenggam kemas,” katanya.

Sementara itu Polis masih melancarkan gerakan memburu seorang lelaki menetak bapa kandungnya hingga mati selain mencederakan ibunya dengan sebilah parang dalam kejadian amuk di Kampung Pasir Putih, Mukim Tualak, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, suspek dipercayai mengalami masalah mental berang apabila tindakannya memarahi anak saudaranya membuat bising ketika menunggu waktu berbuka puasa ditegur adik ipar berusia 32 tahun dan bapanya berusia 65 tahun.

Menurutnya, berang dengan teguran itu, suspek pergi mengambil parang di dapur rumah sebelum menetak kepala, tangan kanan dan kiri serta kaki kanan mangsa daripada paras buku lali sehingga putus.

“Suspek menyerang ibunya dengan menetak belakang kepala wanita berusia 51 tahun itu sehingga cedera sepanjang 10 sentimeter sebelum melarikan diri.

“Bapa suspek yang parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahaiyah (HSB) untuk rawatan, bagaimanapun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira jam 8.30 malam.

“Ibunya pula dirawat di Hospital Kuala Nerang akibat cedera di belakang kepala dengan menerima lima jahitan dan sudah dibenarkan keluar, tengah hari tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, polis menjumpai kaki mangsa di bahagian luar dapur rumahnya dipercayai dibuang oleh lelaki terbabit .

“Usaha mengesan suspek masih lagi dijalankan dan kita percaya dia masih lagi berada di kawasan kampung itu dengan bersembunyi di dalam semak berhampiran. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close