Leher Hampir Putus | Gadis Maut Tercampak Jejambat

Hasrat seorang gadis berusia 19 tahun memakai baju baru pada Aidilfitri berkecai apabila mangsa terbunuh selepas tercampak dari jejambat setinggi 10 meter berhampiran susur masuk Jalan Bellamy ke Jalan Istana, di sini, petang semalam.

Lebih mengerikan, selepas tercampak dari jejambat itu, kepala mangsa bergesel besi pembahagi jalan hingga lehernya hampir putus.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Nur Aqilah Noor Ahmad dari Kampung Tasik Tambahan, Ampang, kemudian terpelanting ke Jalan Istana yang sibuk hingga nyaris dirempuh kenderaan lain sebelum beberapa pengguna jalan raya berhenti memberi pertolongan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang membonceng motosikal teman lelakinya, Darwish Ridhwan Lee Abdullah, 19, tercampak selepas motosikal terbabit gagal dikawal lalu merempuh penghadang jalan di jejambat berkenaan.

Lima minit selepas kejadian, Nur Aqilah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala dan leher. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat manakala teman lelakinya yang cedera parah, dihantar ke hospital sama dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kemalangan itu berlaku selepas kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke rumah Nur Aqilah di Ampang selepas membeli baju raya di Bukit Bintang, di sini. Kejadian itu menyebabkan kesesakan hampir dua jam ketika warga kota sibuk menggunakan laluan itu untuk pergi ke pusat beli-belah serta menuju ke lebuh raya untuk balik kampung.

Berikutan kejadian itu, Polis Trafik Kuala Lumpur meminta saksi kemalangan itu menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close