Gara-gara Ditegur | Pemandu Teksi Cekik Wanita

Seorang pemandu teksi sanggup memaki hamun, mencekik, menarik rambut dan memukul seorang wanita gara-gara ditegur supaya mengalihkan kenderaannya yang diletakkan di tempat letak kenderaan khas milik sebuah premis di Sunway Batu Caves, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pengurus premis itu dan berusia 34 tahun meminta lelaki terbabit mengalihkan teksinya kerana sebuah lori akan datang untuk mengambil barang.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak mengendahkannya malah enggan mengalihkan kenderaan itu sambil memarahi mangsa yang mengganggunya sedang berehat.

Menurut sumber, mangsa sekali meminta lelaki itu mengalihkan teksi dan meletakkannya di kawasan tempat kereta yang disediakan namun tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit berang sebelum keluar dari teksi dan terus memarahi mangsa.

“Akibatnya berlaku pertengkaran antara mereka sebelum tiba-tiba lelaki itu terus mencekak leher mangsa menyebabkan dia sukar bernafas.

“Mangsa yang sesak nafas cuba meronta melepaskan diri dan berjaya namun belum sempat dia berbuat apa-apa lelaki itu sekali lagi bertindak ganas apabila menarik rambut mangsa menyebabkan dia menjerit kesakitan,” katanya.

Sumber berkata, tidak cukup setakat itu, lelaki itu turut memukul mangsa beberapa kali sebelum dileraikan rakan mangsa yang membantu di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di leher dan tangan sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Selayang.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close