E-mail Tidak Betul Mengenai Status Halal Produk

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan e-mel tidak betul mengenai status halal sesuatu produk hingga menimbulkan kekeliruan pengguna dan menjejaskan perniagaan pengeluar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, berkata terdapat beberapa e-mel yang tersebar kini mengambil maklumat lama mengenai status halal sedangkan produk berkenaan sudah mendapat pengiktirafan halal Malaysia.

Beliau memberi contoh mangsa terbaru dalam kes ini iaitu produk kecantikan milik Datuk Siti Nurhaliza Taruddin di mana berus pemerah pipi dikatakan menggunakan bulu babi.

“Tindakan ini tidak wajar berlaku kerana penyebaran maklumat yang tidak jelas memberi kesan negatif kepada pengguna dan industri, malah perbuatan itu satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi.

Hakimah berkata, ada produk yang disenaraikan Jakim sebagai tidak halal kerana mengandungi benda haram, tetapi selepas pelbagai proses dilalui pengeluar antaranya melakukan proses samak, Jakim menyenaraikan produk terbabit sebagai halal.

“Saya minta masyarakat tidak menerima maklumat baru tanpa menyelidiki kesahihannya dan sila rujuk Jakim untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Beliau meminta masyarakat Islam yang was-was mengenai status halal sesuatu produk menghubungi 03- 83150200 untuk keterangan lanjut.

Beberapa hari lalu, Siti Nurhaliza terpaksa mengeluarkan kenyataan mempertahankan status halal produknya apabila seorang pemilik blog menyebarkan surat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (Jaip) mengenai senarai nama syarikat yang tidak berjaya mendapat sijil pengesahan halal Malaysia.

Sehubungan itu Hakimah menasihati masyarakat supaya tidak terlalu mudah percaya dengan maklumat yang tersebar melalui laman sosial.

“Sila buat rujukan dengan Jakim jika timbul sebarang keraguan kerana banyak produk yang sudah disucikan semula,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close