Dua Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

Ketika umat Islam bersiap sedia menunggu ketibaan 1 Syawal yang dijangka esok, 15 orang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Wakaf Mek Zainab, dekat sini hari ini.

Mereka yang datang dari dua buah keluarga miskin itu hanya mampu melihat rumah yang didiami lebih setahun lalu hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi.

“Hanya tiga paket biskut raya yang dapat diselamatkan,” kata seorang mangsa, Siti Rokiah Ismail, 52.

Katanya, beliau tiada di rumah ketika kejadian kerana sedang bekerja sebagai pembersih premis di bandar raya Kota Bharu.

“Bila saya dapat tahu rumah kami terbakar saya berkejar pulang namun tidak sempat menyelamatkan barangan keperluan untuk raya,” katanya yang menyewa rumah itu bersama suami Razali Abu Bakar, 62, seorang tukang gunting yang sudah uzur.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Wan Hassan Wan Idris berkata, bomba yang menerima panggilan pukul 11.52 pagi berjaya mengawal api dalam masa 15 minit.

Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur salah sebuah rumah yang terbakar itu, dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian, katanya. – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close