Bola Sepak Universiti Dunia | Malaysia Layak Ke Abu Dhabi

Skuad bola sepak negara menerima dua berita gembira selepas berjaya menewaskan Thailand 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 kelmarin.

Selain melayakkan diri ke Universiade 2013 di Kazan, Rusia, skuad bimbingan Aminuddin Hussin itu turut mengesahkan slot ke Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Universiti 2012 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Penampilan pada Piala Dunia Universiti tahun depan boleh dianggap sebagai suatu pendedahan yang terbaik buat skuad negara,” kata penolong jurulatih, Richard Nelson Scully ketika ditemui di Stadium Sekolah Sukan Shenzhen kelmarin.

“Kejohanan ini baru sahaja dianjurkan dan ia khusus untuk bola sepak.”

Mengulas lanjut mengenai kemenangan ke atas Thailand kelmarin, Richard Scully berkata, mereka sebenarnya telah merancang strategi untuk menghadapi perlawanan itu.

Katanya, mereka ingin melihat terlebih dahulu corak permainan Thailand, sekali gus mengenal pasti segala kelemahan dan kekuatan pasukan yang dibimbing Juta Tingsabhat itu.

Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga 90 minit permainan sebenar sebelum kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.

“Kita lihat kelemahan Thailand adalah di bahagian tengah, jadi kita mengatur strategi untuk menjana serangan di posisi itu.

“Saya percaya, sikap positif yang ditonjolkan para pemain membolehkan kita mara ke depan, sekali gus berjaya menyama- kan kedudukan.”

Sementara itu, kapten Malaysia, K. Reuben menegaskan, nasi hat jurulatih pada waktu rehat telah menyuntik semangat para pemain untuk beraksi dengan lebih pada babak kedua.

“Perlawanan hari ini (kelmarin) sangat sengit. Semua pemain telah memberikan yang terbaik dan kami bekerja keras sejak dari awal babak pertama.

“Pada babak kedua, kami bermain dengan lebih bersemangat dan akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan. Pada penen- tuan sepakan penalti, kami bernasib baik dan kami berterima kasih pada Tuhan.

“Kami sedikit cemas apabila Afham (Muhammad Afham Zulkipeli) gagal menyempurnakan sepakan penalti (sepakan pertama) tetapi selepas itu, pemain lain menyempurnakan tugas mereka dengan baik.”

Malaysia akan meneruskan saingan pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 menentang Kanada di Stadium Sekolah Sukan Shenzhen pada pukul 4.30 petang ini.

Facebook Comments
Close