Rentetan Tebusan Di Tadika Serikids

Agak mengejutkan banyak pihak kelmarin apabila kita semua diberitakan tentang satu episod 30 kanak-kanak dan empat guru telah dijadikan tebusan di sebuah tadika di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini.

Suspek yang dipercayai kurang siuman yang juga penagih dadah bertindak menceroboh tadika dan mengurung semua yang berada di sana. Mujurlah dalam drama yang berlangsung selama 5 jam itu tiada mana-mana pelajar yang cedera, hanya suspek yang berjaya ditembak oleh pihak polis.

Di bawah adalah berita kejadian berkenaan yang Belalang ambil dari akhbar Utusan-

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek dalam kes tersebut dipercayai individu sama dalam kes serangan seorang lelaki kurang siuman yang mencederakan kanak-kanak menggunakan tukul di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini pada 10 Mac tahun lalu.

Katanya, pihak polis juga percaya suspek adalah orang sama dalam kejadian tiga kanak-kanak ditikam di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong pada 12 Januari 2009.

Mengimbas detik-detik kejadian tebusan di Tadika Serikids hari ini, Jalaluddin berkata, polis mendapat maklumat mengenainya pukul 10 pagi dan sebuah kereta peronda dihantar ke premis itu.

“Suspek dikatakan mengurung kesemua empat guru dan 30 kanak-kanak di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia turut mengunci semua pintu di tadika itu.

“Usaha untuk berunding dengan suspek dilakukan sejak pukul 11 pagi hingga 3 petang dan suspek telah mengemukakan beberapa tuntutan tidak logik, termasuk meminta sepucuk pistol automatik,” katanya.

Tambahnya, salah seorang detektif dapat mengecam dan mengenal pasti identiti suspek dan telah membawa bapa saudara, kakak serta adik suspek untuk memujuknya namun usaha itu gagal.

Katanya, polis yakin kesemua tebusan berada dalam keadaan selamat untuk satu serbuan dilakukan setelah menemui sekeping kertas yang diremukkan dan dilempar keluar oleh salah seorang guru tadika itu mengatakan dalam bahasa Cina: 30 kanak-kanak dan guru dikunci di dalam bilik atas.

Tahniah kepada pasukan pihak polis diatas kecekapan dan kepantasan mereka dalam memastikan nyawa pelajar-pelajar dan guru-guru tadika berkenaan selamat tanpa mengalami kecederaan apa-apa.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close