Minum Sebotol Air Sabun Selepas Bergaduh Dengan Teman Wanita

Di Kuala Lumpr, hanya kerana bergaduh dengan teman wanitanya, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun nyaris maut apabila meneguk hampir sebotol air sabun dalam kejadian di rumahnya di Desa Tasik Sungai Besi, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang ditemui pengsan di tandas rumahnya dikejarkan ahli keluarganya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini, untuk rawatan.

Difahamkan, remaja terbabit kini dilaporkan stabil.

Menurut sumber, berdasarkan keterangan diberikan mangsa kepada doktor, dia mendakwa mahu membunuh diri kerana bergaduh dengan teman wanitanya.

“Sebelum kejadian, mangsa memberitahu mengalami salah faham dengan teman wanitanya sebelum bertengkar ketika menghubunginya kira-kira jam 8 pagi.

“Mangsa yang cuba memujuk teman wanitanya itu untuk bertemu bagi menyelesaikan pertelingkahan berkenaan gagal sebelum mengugut mahu membunuh diri. Namun, teman wanitanya tidak percaya dengan ugutan berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang hilang kawalan kemudian menelan hampir sebotol air sabun sebelum pengsan.

“Dia dihantar ke PPUKM oleh ahli keluarganya sebaik menemuinya terbaring di atas lantai tandas,” katanya.

Difahamkan, akibat perbuatannya itu, pihak hospital kini merujuk kes berkenaan kepada pakar psikiatri bagi menentukan tahap kesihatan sebenar pelajar terbabit.

Sehubungan itu, doktor terbabit membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close