Kematian Pembantu Rumah Bukan Sebab Didera

Polis Pulau Pinang hari ini mengesahkan kematian seorang pembantu rumah warga Kemboja di Taman Robina, Seberang Perai Utara pada 17 Julai lepas bukan disebabkan penderaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata, sebaliknya laporan bedah siasat menunjukkan Choy Pich, 22, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

Bedah siasat juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada mangsa, kecuali sedikit lebam pada bahagian pipi yang mungkin berlaku ketika mangsa jatuh terhempas ke lantai, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, polis yang menyiasat kematian Choy turut mengambil keterangan beberapa pihak termasuk jiran yang memaklumkan mereka tidak pernah mendengar Choy mengadu didera majikannya.

Beliau berkata, wakil kedutaan Kemboja juga berpuas hati dengan siasatan polis dan menerima keputusan bedah siasat yang dilakukan pakar patologi Hospital Kepala Batas itu.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close