Kanak-kanak Terperangkap Dalam longkang Pembentung

“Tiba-tiba saya merasakan tubuh melayang sebelum rasa sakit di kaki dan tangan kanan serta kepala. Keadaan dalam longkang itu terlalu gelap menyebabkan saya bimbang diserang haiwan berbisa, namun saya nekad menjerit meminta tolong,” kata Siti Norzuriana Marianto, 12, menceritakan detik mencemaskan apabila terperosok dan terperangkap dalam lubang longkang pembetung sedalam kira-kira 3 meter selama sejam, di Larkin Perdana di sini, kira-kira 7 malam kelmarin.

Dia yang tinggal bersama keluarga di sebuah pangsapuri terjatuh ke dasar longkang itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai berhampiran.

Berikutan itu, dia bukan saja cedera di kepala dan tangan kanan, malah patah tulang kering kaki kanan.

Mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Puteri di sini berkata, sebelum kejadian, dia berjalan kaki berseorangan dan tidak menyedari lubang longkang itu tiada penutup konkrit.

“Tiba-tiba, saya rasa tubuh melayang sebelum jatuh ke dasar longkang dan pada masa sama kaki kanan cedera dan sukar bergerak.

“Saya menjerit meminta pertolongan kerana tidak mampu berdiri,” katanya.

Sementara itu, seorang kaki pancing yang menyelamatkan mangsa, Mohd Bakhtiar Abd Kadir, 31, berkata, dia bersama lima rakan dalam perjalanan ke kolam berhampiran lokasi memancing ikan, sebelum terdengar jeritan meminta tolong dan mengerang kesakitan.

Menurutnya, dia dan rakan mencari punca jeritan dan terkejut melihat seorang kanak-kanak terperangkap dalam longkang kering itu. “Pada awalnya, kami menghadapi kesulitan menyelamatkan mangsa berikutan lubang itu dalam.

“Kemudian saya mengarahkan kanak-kanak itu menguatkan semangat dan cuba berdiri sebelum menjulurkan badan sambil kaki dipegang rakan.

“Sejurus mendakap mangsa, kami menariknya keluar. Kasihan melihat dia cedera di kepala dan tangan kanan, selain tulang kering kaki kanannya patah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Sri Impian, Wan Zuraimi Wan Abdul berkata, penutup konkrit lubang longkang itu hilang kira-kira dua minggu lalu dan pihaknya mengadu perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, lubang itu di tengah laluan pejalan kaki dan memaklumkan pihak berkuasa kerana membahayakan pejalan kaki. “Lubang longkang itu menunggu mangsa dan kejadian itu ternyata membuktikan kebimbangan kami.

“Kami menutup lubang itu dengan batang kayu, namun berharap PBT mengambil tindakan segera,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close