Juara Mari Menari Musim Ke-2 | Pasangan Sarah juara Mari Menari Musim Kedua

Pasangan MM Sarah dinobatkan sebagai juara Mari Menari musim kedua (MM2) dalam saingan terakhir rancangan berkenaan yang diadakan di Studio 1, Astro di sini malam ini.

Dengan kemenangan itu, Sarah Diana Michele Durai, 32, dan adiknya Shazrul Hudson Ashley Durai, 18, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150,000.

Selain itu, mereka juga berjaya meraih hadiah sampingan berupa pakej percutian empat hari tiga malam di Hard Rock Bali, Indonesia, pakej penerbangan tajaan Mustwin Sdn. Bhd., dan trofi Mari Menari.

Naib juara pula disandang oleh pasangan MM Nita iaitu Norny Yusnita Jening, 22, dan adiknya Umar Ali Jening, 20.

Mereka membawa pulang hadiah berupa pakej percutian empat hari tiga malam di Hard Rock Bali, Indonesia, pakej penerbangan tajaan Mustwin Sdn. Bhd., dan trofi.

Sementara itu, dalam saingan separuh akhir semalam, pasangan MM Mizi diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga manakala pasangan MM Faiz mendapat tempat keempat.

Biarpun tidak berjaya melangkah ke cabaran lantai tari terakhir malam ini, pasangan MM Mizi dan MM Faiz membawa pulang hadiah yang serupa dengan naib juara.

Pertandingan akhir itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria 104 dan 188 saluran HD bermula pukul 9 malam hingga 10 malam.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close