Jari & Tangan Bayi Mengecut

Di Machang, Sepasang suami isteri terkejut apabila jari dan tangan kiri bayi perempuan mereka berusia enam bulan menjadi hitam dan mengecut selepas menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan di Kota Bharu.

Bapa bayi tersebut, Ismail Lee, 30, mendakwa, anaknya, Nur Ayreen Imanie menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana mengalami masalah pernafasan, Mac lalu.

Ismail mendakwa, dia menyedari tangan kiri bayinya itu berubah menjadi hitam dan kebiru-biruan dari paras siku hingga ke jari menyebabkannya merujuk kembali Nur Ayreen ke HRPZ II sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Dakwanya, ketika di HRPZ II, doktor menjalankan ujian imbasan dan mengesahkan ada saluran darah tersumbat pada bahagian bekas suntikan sebelum bertindak memberikan ubat pencair darah sebagai tindakan awal, namun tidak berhasil.

“Tangan anak saya semakin teruk selepas itu dan mula mengecut, namun tiada tindakan yang diambil oleh doktor bagi mengatasinya kecuali tunggu dan lihat.

“Selepas beberapa hari, baru doktor cuba berbuat sesuatu namun, tidak berjaya dan memberitahu kami, sudah tiada harapan bagi menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tualang Kelikir di sini, hari ini.

Tambahnya, dia dan isterinya, Zuhariana Baharum, 30, menerima takdir tersebut namun, apa yang dikesalkan adalah tindakan pihak hospital yang gagal menangani masalah kesihatan anaknya itu sehingga menyebabkan tangan kiri anaknya hampir tidak berfungsi.

Jelasnya, selain masalah komplikasi pada tangan kiri, anak bongsu daripada dua beradik itu juga terpaksa ditebuk lehernya kerana masalah pernafasan.

“Apa yang kami pertikai kenapa selepas beberapa hari baru doktor mengambil tindakan susulan, kenapa tidak serta-merta. Kami sedar ini semua adalah dugaan dan takdir daripada Allah namun apa yang dikesalkan ialah tindakan yang dilakukan pihak hospital dalam menangani masalah kesihatan anak saya,” ujarnya.

Katanya, dia kini menunggu laporan penuh daripada pihak HRPZ II sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan selanjutnya, termasuk kemungkinan tindakan undang-undang.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close