Harga Barang Dijangka Naik Menjelang Ramadan 2011?

Peniaga barangan keperluan di tiga pasar utama sekitar ibu kota, iaitu Pasar Chow Kit, Pasar Pudu dan Pasar Datuk Keramat menjangkakan harga barangan terus meningkat menjelang Ramadan dua minggu lagi.

Ini berdasarkan trend peningkatan harga barangan setiap kali menjelangnya Ramadan, cuti persekolahan dan sambutan perayaan utama di negara ini.

Tinjauan ke pasar berkenaan, mendapati terdapat perbezaan harga yang ketara antara ketiga-tiga pasar. Di Pasar Pudu dan Keramat, harga ayam bersih kekal pada harga RM7.50 sekilogram sejak dua minggu lalu, berbanding harga di Pasar Chow Kit yang turun daripada RM8.50 sepanjang minggu lalu kepada RM8 sekilogram, semalam.

Daging lembu tempatan di Pasar Chow Kit dijual pada harga RM20 sekilogram, Pasar Keramat (RM22) dan Pasar Pudu (RM21), masing-masing tiada peningkatan sepanjang minggu lalu.

Bagi hasil laut seperti ikan kembung hitam, berlaku peningkatan di Pasar Chow Kit iaitu RM13 sekilogram berbanding dua minggu lalu, iaitu RM8, manakala di Pasar Keramat dan Pasar Pudu, kekal dengan harga RM7 sekilogram. Peniaga ikan, Yusrizal Amran, 46, berkata peningkatan harga ikan berlaku disebabkan kekurangan bekalan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Sekarang ini susah nak cari ikan segar, sebaliknya banyak ikan sejuk beku daripada luar negara untuk dijual bagi memenuhi permintaan pelanggan. Kekurangan bekalan menyebabkan harga terpaksa dinaikkan hingga 30 peratus dan dijangka ia akan terus meningkat menjelang musim perayaan nanti,” katanya.

Peniaga Ayam, Abdul Samad Ardi, 39, berkata, dia memberi diskaun kepada pelanggan dengan menjual ayam RM12 seekor berbanding RM7.50 sekilogram.

“Saya tidak menjual mengikut kilogram kerana ia akan membebankan pengguna, seekor ayam mempunyai berat kira-kira 1.5 kilogram hingga 2 kilogram. Jika ayam dijual mengikut timbangan RM7.50 sekilogram, seekor akan mencecah harga hingga RM18. Apabila harga meningkat, pembeli akan berkurangan dan saya akan kerugian,” katanya yang turut menjangkakan harga akan meningkat lagi menjelang Ramadan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close