Hancur Digilis Kenderaan

Seorang pemandu lori maut digilis beberapa buah kenderaan sehingga hancur ketika melintas lebuh raya di Kilometer 207, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam, Abd. Aziz Ramli, 46, mati di tempat kejadian setelah dilanggar sebuah kereta ketika cuba melintas lebuh raya berkenaan.

Mayatnya yang tercampak kemudian digilis sehingga hancur oleh beberapa buah kenderaan lain yang tidak menyedari mangsa di atas lebuh raya berkenaan.

Anak saudaranya, Muhammad Amirul Ridzuan Mohd. Sabri, 17, yang melihat sendiri nahas ngeri itu berkata, sebelum kejadian, lori yang dipandu bapa saudaranya kehabisan minyak ketika dalam perjalanan dari Subang, Selangor menghala ke Melaka.

Menurutnya, arwah terpaksa menumpang kereta pengguna lebuh raya itu untuk ke stesen minyak berhampiran dan menumpang kenderaan lain untuk kembali ke lorinya.

“Ketika kejadian, arwah sudah membeli minyak dan sedang menyeberangi jalan. Ketika tiba di laluan paling kanan, arwah dilanggar oleh sebuah kereta dan tercampak ke seberang jalan sebelum digilis beberapa kereta lain hingga hancur,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka di sini hari ini.

Muhammad Amirul Ridzuan berkata, dia yang melihat kejadian itu tergamam sebelum cuba menahan kereta untuk meminta pertolongan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

“Mayat mangsa yang berasal dari Jalan Kuching, Kuala Lumpur dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close