Dua Beradik lemas Di Longkang

Di Seremban, Kasih seorang abang untuk menyelamatkan adiknya daripada lemas berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka mati lemas selepas dihanyutkan arus deras longkang di hadapan sekolah mereka.

Kejadian menyayat hati itu turut disaksikan rakan-rakan Sekolah Kebangsaan Wawasan, Seremban 2 dekat sini apabila mereka bergegas menghubungi guru sebaik sahaja ternampak dua beradik itu terjatuh dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari ketika hujan lebat.

Mangsa, Aqhari Aqwa Saprudin, 8, dan adiknya, Arif Hidayatullah, 7, dihanyutkan arus deras longkang sedalam 1.5 meter sehingga ke dalam kolam takungan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Seremban 2.

Difahamkan, Arif Hidayatullah tergelincir dan jatuh ke dalam longkang berkenaan ketika hujan lebat dan pada masa yang sama, abangnya cuba memaut tangan adiknya sebelum dia turut dihanyutkan.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri, Abu Bakar Katain berkata, mayat mangsa lemas pertama iaitu Arif Hidayatullah ditemui kira-kira pukul 2.45 petang di dasar kolam tersebut.

“Mayat abangnya pula ditemui pukul 4.54 petang ini juga di dasar kolam itu. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kepayang , Zulhelmi Abdul Wahab, 26, berkata, dia mendengar jeritan beberapa pelajar untuk meminta tolong sejurus selepas dua murid itu terjatuh ke dalam longkang.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja saya tiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa sudah hilang dibawa arus deras,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat itu disertai pasukan Bomba dan Penyelamat Seremban 2 serta 13 anggota dari Unit Skuba Teluk Kemang, Port Dickson.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut melawat lokasi kejadian melahirkan rasa simpati dan berharap keluarga mangsa bersabar dengan kejadian yang berlaku.

“Saya mengarahkan Majlis Perbandaran Seremban dan pemaju supaya mengambil tindakan segera memasang jeriji atau menutup longkang berkenaan, yang dilihat membahayakan pelajar.

“Tambahan pula, kawasan berhampiran longkang itu sering menjadi tempat menunggu bas dan van oleh pelajar, apabila tamat waktu persekolahan. Ini akan kita buat segera bagi mengelak tragedi berulang,” katanya kepada pemberita.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close