Dipukul Sewaktu Cari Anak Di Rumah Teman Lelakinya

Di Petaling Jaya, niat seorang bapa mencari anak gadisnya berusia 21 tahun yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu bertukar tragedi apabila dia dipukul dengan cota besi dan dibelasah tiga lelaki termasuk seorang abang teman lelaki anaknya dalam kejadian di Sungai Way, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu menyebabkan si bapa cedera di bahagian badan dan muka selepas terkena pukulan cota besi selain turut ditendang dua lelaki di belakangnya.

Mangsa, Mat Ismail Saad, 46, berkata, beberapa kali cuba mencari anaknya, Rosmalah Mat Ismail, 21, di sekitar bandar serta di rumah teman lelakinya, namun tidak ditemui.

Katanya, pada hari kejadian, dia ternampak kelibat anak keempat daripada sepuluh beradik itu yang baru pulang dari kerja dan cuba memanggilnya, namun dia melarikan diri dengan naik ke rumah teman lelakinya.

“Saya cuba mengekori, tetapi dia hilang sekelip mata hingga menyebabkan saya pergi ke rumah sewa teman lelaki anak dan meminta izin untuk masuk bagi mencarinya, tetapi dihalang keras tiga lelaki itu.

“Saya tetap berkeras masuk ke rumah itu dan memanggil nama anak, namun sebaliknya diberi ‘hadiah’ pukulan cota besi di rusuk, tamparan dan tendangan di badan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Utama, di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki terbabit tanpa belas kasihan menggunakan kekerasan memukulnya, walaupun tidak bersalah dan hanya berniat mencari anak gadis yang hilang.

Mat Ismail berkata, dia tidak membalas pukulan itu kerana hanya mahu anak gadisnya dikembalikan dan merayu tidak diperlakukan sebegitu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close