Bangkai Ayam Berwarna Kuning Di Pejabat Umno

“Saya percaya ia provokasi menjelang perhimpunan haram Bersih,” kata Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabsee selepas kejadian pejabat Umno bahagian berkenaan di Jalan Peel, di sini, disimbah cat kuning dalam kejadian awal pagi semalam.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika keadaan masih gelap dan staf pertama yang tiba kira-kira jam 8 pagi menyedarinya sebelum memaklumkan kepada staf lain.

Selain disimbah cat, empat ayam yang sudah disembelih turut dicelup dengan cat kuning sebelum dibaling ke arah pejabat Umno itu.

Syed Ali berkata, pihaknya kesal dengan kejadian simbah cat ‘kuning’ termasuk membaling empat ayam yang disembelih.

“Saya meminta polis menyiasat kejadian itu segera dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

“Saya percaya perbuatan itu unsur provokasi menjelang perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

“Bagaimanapun, saya ingin meminta semua ahli tidak melatah akibat kejadian ini dan sedar ia tindakan bertujuan merosakkan perpaduan kaum dan menjejaskan keamanan negara,” katanya di sini, semalam.

Susulan itu, Naib Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Md Nasir Ghani bersama-sama beberapa ahli membuat laporan di Balai Polis Pudu, kira-kira jam 10 pagi.

Kejadian sama berlaku di Pejabat Umno Bahagian Bandar Tun Razak di Taman Tenaga, di sini, semalam apabila enam ayam yang disembelih dibaling bersama seekor kucing mati ke arah pejabat berkenaan.

Selain itu, gambar kambing dilekatkan di pintu masuk pejabat berkenaan.

Facebook Comments
Close