Warga Indonesia Dijatuhi Hukuman Pancung

Seorang wanita Indonesia menjalani hukuman pancung di Arab Saudi, semalam setelah didapati bersalah membunuh isteri majikannya.

Hukuman itu mendapat kecam keras daripada kerajaan Indonesia.

Wanita yang dikenali sebagai Roiaiti Beth Sabotti Sarona itu, menurut penterjemah daripada bahasa Arab, didapati bersalah membunuh Khairiya bint Hamid Mjilid dengan menetak kepalanya berkali-kali dengan pisau pemotong daging dan menikam lehernya, lapor agensi berita rasmi SPA yang memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri.

Kenyataan itu tidak menyatakan motif pembunuhan tersebut.

“Kerajaan Indonesia mendapati hukuman mati itu dilaksanakan tanpa mematuhi amalan antarabangsa berkaitan perlindungan konsul.

“Kami tahu tentang kes itu dan dia telah mengaku melakukan pembunuhan, tetapi kami tidak diberitahu tentang waktu hukuman dijalankan,” kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Michael Tene.

Kerajaan Indonesia akan memanggil Duta Arab Saudi di Jakarta untuk menyampaikan bantahan, katanya.

Kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta rakyat Indonesia di Arab Saudi bekerja sebagai pembantu rumah.

Hukuman pancung yang dilaksanakan di wilayah Mekah itu adalah hukuman mati yang ke-28 di Arab Saudi pada tahun ini.

Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International pada minggu lepas menggesa kerajaan Saudi menghentikan pelaksanaan hukuman mati, dengan berkata, bilangan hukuman tersebut yang dilaksanakan dalam tempoh enam minggu lalu meningkat dengan ketara.

Kata Amnesty, sekurang-kurangnya 27 orang menjalani hukuman mati di Arab Saudi pada tahun ini, menyamai jumlah pesalah yang menjalani hukuman itu pada seluruh 2010.

– AFP

 

Facebook Comments

Comments are closed.

Close