Tanam RM1j Belakang Rumah | Kes Penipuan Di Teluk Intan

Di Ipoh polis menemui sebuah beg berisi wang tunai lebih RM1 juta ditanam di belakang rumah seorang lelaki berusia 21 tahun dalam satu serbuan di Kuala Muda, Kedah pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, wang tersebut dipercayai sebahagian wang kes penipuan di Teluk Intan membabitkan kerugian hampir RM7 juta.

Menurutnya, lelaki yang ditahan itu merupakan anak kepada pasangan suami isteri, Song Siew Weng, 49, dan Chong Heoy Choo, 40, yang disyaki dalang kes penipuan terbabit.

Siew Weng dan Heoy Choo bagaimanapun masih gagal dikesan sejak menghilangkan diri April lalu sebaik kes penipuan tersebut terbongkar.

“Kegiatan penipuan itu terbongkar setelah polis menerima tujuh laporan polis daripada kesemua mangsa.

“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan pelbagai tender kerajaan seperti membekalkan buah-buahan dan barangan runcit kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kontrak dengan Jabatan Pengairan dan Saliran termasuk mendapatkan tanah rizab kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Shukri berkata, polis masih berusaha mengesan pasangan tersebut.

Alamat terakhir Siew Weng adalah di Nombor 58, Persiaran Pengkalan Timur 11, Taman Desa Pakatan, Ipoh manakala Heoy Choo pula beralamat di Nombor 39, Lorong Tupai Mas, Taiping.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mengetahui mereka diminta menghubungi IPK Perak di talian 05-2451222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di 05-6299222 bagi membantu siasatan.

 

Facebook Comments

Comments are closed.

Close