Suspek Tunggang Kuda Positif Morfin

Penunggang kuda yang merempuh kanak-kanak berusia lima tahun sehingga parah ketika berkelah di pantai Batu Feringgi, di sini, kelmarin disahkan positif dadah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata ujian air kencing ke atas lelaki terbabit yang berasal dari Alor Setar, dia disahkan positif dadah jenis morfin.

“Siasatan terhadap suspek mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kes pecah rumah dan jenayah berkaitan dadah,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini semalam.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa 30 minit melawat Arina Kirana Azrin di wad kanak-kanak HPP, di sini, semalam.

Media semalam melaporkan percutian Arina Kirana ke negeri ini bersama keluarganya bertukar tragedi apabila patah bahu kiri dan cedera paha kanan akibat dirempuh kuda yang dinaiki seorang lelaki ketika bermain dengan kakaknya di pantai terbabit.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kakak mangsa berusia 12 tahun bagaimanapun tidak cedera manakala lelaki terbabit menghilangkan diri.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai budak pantai, ditahan polis tidak lama selepas kejadian. Sementara itu, polis mendapatkan perintah reman empat hari terhadap suspek di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Dia ditahan sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Facebook Comments
Close